Agong, Permaisuri sukacita sempurna impian jelajah Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR-- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan sukacita dan syukur kerana dapat menyempurnakan impian mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo yang melabuhkan tirai di Kilometer 0, Telok Melano, Sarawak semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak atas sambutan sangat hebat yang telah diberikan kepada baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo.

"Seri Paduka baginda berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.

"Sesungguhnya, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan lanskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Seri Paduka Baginda berdua dan sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Kerajaan Sabah serta Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program tersebut yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September 2023 lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Zahari memberitahu baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program Kembara Kenali Borneo itu juga telah memberi peluang untuk Baginda berdua mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung Malaysia,

"Sabah dan Sarawak dan juga merealisasikan semangat "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada".

"Baginda berdua mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara oleh Allah Subhanahu Wataala dan agar negeri Sabah dan Sarawak kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya juga kekal hidup dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa," ujarnya.

Tambahnya, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 September 2023 kelak, Yang di-Pertuan Agong turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menghayati dan melaksanakan prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti Bangsa Malaysia.

Jelasnya, baginda bertitah, ini adalah kerana setiap lima teras prinsip Rukun Negara ialah formula bagaimana rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta kehidupan secara rukun dan damai.
Next Post Previous Post