Wanita maut tercampak dari 4WD

KUCHING-- Seorang wanita menemui maut selepas kereta pacuan empat roda (4WD) model Toyota Hilux yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik di kawasan Jambatan Sungai Rayang Jalan Serian-Kuching malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya berkata, mangsa yang merupakan pemandu kenderaan dikenali sebagai Nalasip Adoh berusia 44 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan KKM yang menjalankan pemeriksaan ke atas beliau.

"Seorang lagi mangsa yang merupakan lelaki berusia 40 tahun bagaimanapun dilaporkan terselamat dalam kemalangan yang berlaku," ujarnya.

Menurutnya, sepasukan anggota BBP Serian bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 8.37 malam.

Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah 4WD yang terbalik yang mana terdapat seorang mangsa telah tercampak keluar dan dihempap oleh kenderaan terbabit.

Seorang lagi mangsa sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang turut berada di lokasi.

Katanya, selepas melakukan "size-up", komander operasi mengarahkan anggotanya mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan dan menyerahkannya kepada pihak KKM seterusnya PDRM untuk tindakan lanjut. 
"Mangsa telah disahkan meninggal meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari KKM yang menjalankan pemeriksaan," jelasnya.

Seterusnya pihak bomba membuat kerja pembersihan dan menabur habuk kayu bagi membersih permukaan minyak dan sejurus selesai dan keadaan didapati benar-benar selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post