Pembangunan Sarawak, Sabah tetap diberi perhatian PM Anwar

KUALA LUMPUR-- Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menganaktirikan Sabah dan Sarawak apabila pembangunan untuk dua wilayah berkenaan akan terus diberi tumpuan.

Beliau semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata, lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. 

"Setakat ini, 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah.

"Selain itu, sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak," katanya.

Tambah beliau lagi, Sabah dan Sarawak juga akan mendapat manfaat pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang mampan dan berdaya tahan dengan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II dan Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B.

Menurut Anwar, kerajaan juga melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Dalam kerangka Ekonomi MADANI, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif,” katanya. 

Dalam pada itu Anwar memberitahu, projek pembangunan sistem Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan naik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat Sabah dengan kos RM195 juta akan dilaksanakan.

“Projek dengan kos sebanyak RM195 juta ini akan memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya. 

Bagi menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini, beliau menegaskan sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

"Kerajaan akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji," ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.
Next Post Previous Post