Op Lejang: 20 kenderaan curi dirampas, 21 suspek ditangkap

KUCHING-- Sebanyak 20 kenderaan curi berjaya dirampas dengan tertangkapnya 21 individu dalam Op Lejang (Jenayah Curi Kenderaan) Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, operasi yang dijalankan dari 4 Ogos sehingga 4 September itu melibatkan 17 pegawai kanan dan 167 anggota.

"Seramai 21 suspek warga tempatan berjaya ditangkap dan polis turut merampas sebanyak 20 buah kenderaan curi dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM146,400.

"Operasi ini berjaya menurunkan sebanyak 25 peratus atau lapan kes kecurian kenderaan di daerah Kuching jika dibandingkan tempoh sama pada bulan Julai 2023," katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Ahsmon, setakat ini seramai sembilan suspek telah pun didakwa dengan hukuman penjara minimum 6 bulan dan paling tinggi 9 bulan.

Jelas beliau, operasi itu akan terus dimaksimumkan bagi memburu penjenayah curi kenderaan.

Beliau memberitahu berdasarkan kajian IPD Kuching mendapati purata kes adalah sebanyak 1 kes sehari. 

"Tiga lokasi utama yang menjadi sasaran ialah kawasan tempat letak kenderaan awam, tempat bebas dan kediaman orang awam. 

"Kecurian kenderaan turut dikesan sering berlaku pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad," dedahnya.

Katanya, penjenayah juga menyasarkan mencuri kenderaan sekitar jam 6.01 petang hingga 11.59 malam, 6.01 pagi 12.00 tengah hari dan 12.01 pagi hingga 5.59 pagi. 

Selain itu, jelasnya, penjenayah turut menyasarkan kenderaan yang tiada kunci tambahan.

Pada masa sama katanya pencuri juga menyasarkan kenderaan yang mempunyai sistem penggera kenderaan yang tidak aktif atau sistem lama yang mudah dipintas.

"Penjenayah juga menyasarkan kenderaan yang diletakkan diluar liputan kamera litar tertutup (CCTV)," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau amat mengalu-alukan orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran berkaitan aktiviti melibatkan kecurian kenderaan.
Next Post Previous Post