Jalan pesisir di Bahagian Samarahan bakal diterangi limpahan 4,513 lampu jalan

SEBUYAU-- Projek pemasangan 4,513 lampu jalan sepanjang Jalan Utama di Bahagian Samarahan yang melibatkan peruntukan RM31.7 juta dijangka siap dalam masa terdekat, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Beliau memberitahu, projek pemasangan lampu itu dilaksanakan dalam dua pakej yang dibiayai kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

"Projek lampu jalan di sepanjang jalan utama di Bahagian Samarahan dijangka siap sepenuhnya sedikit masa lagi apabila bekalan elektrik dapat disambung ke semua tiang lampu kelak," katanya dalam hantaran Facebooknya semalam.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, Pakej 1 terbahagi kepada tiga kluster iaitu kluster 1 adalah di sepanjang Jalan Stakan/Jalan Pentagon/Kawasan Samarahan mempunyai 856 tiang lampu.

Manakala kluster 2 katanya bermula dari Jambatan Batang Samarahan sehingga Pekan Asajaya mempunyai 362 tiang lampu.

"Kluster 3 pula bermula dari Pekan Asajaya menuju Jambatan Batang Sadong mempunyai 568 tiang lampu yang mana pakej pertama ini menelan kos RM13.9 juta," jelasnya.

Bagi Pakej 2 pula katanya, ia terbahagi kepada 5 kluster iaitu kluster 1 bermula dari Jalan Gedong menuju Jambatan Simunjan mempunyai 553 tiang lampu.

"Kluster 2 bermula dari Simpang Simunjan ( Lebuh Raya Pan Borneo ) menuju Pekan Simunjan mempunyai 425 tiang lampu.

"Kluster 3 bermula dari Pekan Simunjan menuju Jambatan Batang Sadong mempunyai 601 tiang lampu.

"Kluster 4 bermula dari Jambatan Batang Sadong menuju Simpang Sebangan mempunyai 447 tiang lampu.

"Dan kluster 5 pula bermula dari Simpang Sebangan hingga Sebuyau Ferry Point mempunyai 701 tiang lampu yang mana pakej 2 ini menelan kos RM 17.8 juta," ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu, apabila sudah siap disambung dengan bekalan elektrik kelak, lampu itu akan menerangi jalan utama termasuk jalan pesisir di kawasan berkenaan.
Next Post Previous Post