MPB rangka strategi jamin pengeluaran lada secara mampan

KUALA LUMPUR-- Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah merangka strategi bagi menjamin pengeluaran lada secara mampan dengan menggalakkan pekebun menanam lada secara komersil iaitu 1000 pokok ke atas bagi setiap penanam.

Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Fadillah Yusof berkata, untuk menyokong usaha ini, kerajaan telah
meningkatkan had dan nilai bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 per hektar dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada RM25,000 per hektar
bagi mengurangkan beban pekebun akibat daripada kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain.

"Selain itu, bagi memastikan kemampanan industri lada, MPB juga menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam penanaman lada seperti Smart Farming yang akan menggalakkan penanaman lada secara komersil," dalam jawapan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Teknologi Internet of Things (IoT) dan produk IPDM yang dibangunkan oleh MPB disasarkan akan meningkatkan produktiviti lada sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030.

Jelasnya, berdasarkan purata harga lada sehingga 31 Ogos 2023 pulangan bersih pekebun lada boleh mencapai sehingga RM2,417.33 sebulan bagi setiap 1,000 pokok yang ditanam.

"Untuk makluman, purata harga lada hitam per tan adalah sebanyak RM14,225.00 manakala purata harga lada putih ialah RM24,071.00 per tan.

"Di samping itu, kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta bagi menceburkan diri dalam penanaman lada secara komersial. 

"Kementerian melalui MPB sentiasa proaktif dalam menjalankan aktiviti promosi dan taklimat kepada syarikat dan agensi yang berminat dan berpotensi bagi memberikan pendedahan berkaitan penanaman dan potensi industri lada," ujarnya.
Next Post Previous Post