Sarawak sasar guna pelet kayu jana tenaga elektrik

SIBU— Sarawak menyasarkan penggunaan pelet kayu sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menjana tenaga elektrik, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, beliau berminat untuk menerokai sumber baharu itu selepas melawat sebuah kilang di Norway yang menggunakan pelet kayu sebagai sumber tenaga.

“Saya tertarik dengan operasi kilang di situ, mereka berjaya mengubah habuk sisa kayu menjadi pelet kayu. Manakala di London terdapat stesen pelet kayu terbesar di dunia yang berupaya menjana tenaga 2,500 megawatt (MW), sesuatu yang mengagumkan.

"Maksudnya, kita boleh menanam semula kawasan hutan yang terdegradasi dengan spesies baharu yang berkembang pesat, dan itu akan menjadi bahan mentah untuk menghasilkan pelet untuk kita hasilkan kuasa; sebagai sumber tambahan untuk grid Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata demikian semasa sambutan ulang tahun ke-63 Chiang Hsia Huang Clan Association Sarawak Tengah di sini malam tadi.

Ujarnya, inisiatif ini bukan sahaja akan menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui tetapi juga menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

“Jika ada lebihan pengeluaran, kita boleh menjual pelet kayu itu sebagai barangan eksport. Dalam erti kata lain, kita bukan lagi sekadar menebang kayu dan menjualnya namun, kita tanam pokok, kita ambil sisa dan ubahnya menjadi tenaga. Sekarang ia adalah bidang perniagaan baharu," jelasnya lagi.

Beliau berkata, pengeluaran pelet biojisim akan mewujudkan kitaran alam sekitar yang mampan di mana di Sarawak akan menanam semula hutannya yang terdegradasi, membawa kepada peningkatan pengeluaran oksigen dan pada masa yang sama memanfaatkan pelet biojisim sebagai sumber tenaga tambahan.
Next Post Previous Post