Lapan usul dikemuka, antaranya mahu Abang Johari terus terajui PBB, GPS- Fadillah

KUCHING-- Jawatankuasa Induk Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 bagi Zon Kuching sebulat suara bersetuju mengemukakan lapan usul kepada Premier Sarawak, kata Pengerusi jawatankuasa itu, Dato Sri Fadillah Yusof.

Naib Presiden Kanan PBB itu berkata lapan usul itu adalah pertama, PBB memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Dipertua PBB dan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus menerajui PBB dan GPS bagi memastikan kestabilan politik Sarawak dan negara Malaysia.

"Kedua, kami ahli-ahli PBB memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memimpin Sarawak dalam memastikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Inter-Government Committee (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan dikembalikan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seperti yang dijanjikan. 
 
"Ketiga, kami ahli-ahli PBB menyokong langkah strategik parti PBB dan GPS sebagai rakan kongsi setara dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan diperingkat Persekutuan dan menuntut agar kerjasama dan penghormatan sewajarnya diberikan oleh pemimpin-pemimpin Persekutuan kepada wakil PBB dan GPS dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
 
Keempat pula, kata Fadillah yang juga Timbalah Perdana Menteri, PBB bertekad memastikan status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak. 
 
Tambahnya, kelima pula PBB mengingatkan parti-parti komponen GPS agar sebarang langkah dan keputusan yang mungkin mengganggu-gugat semangat kebersamaan, persefahaman dan kestabilan GPS dirujuk kepada saluran yang betul. 

"Keputusan yang diambil harus dilakukan secara rundingan dan mendapat persetujuan parti PBB dan parti komponen yang lain," tegasnya.

Keenam pula katanya PBB menekankan matlamat supaya Sarawak dapat mencapai status negeri maju berpendapatantinggi menjelang tahun 2030 berpandukan dasar dan perancangan Pelan Strategi Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030). 
 
"Ketujuh, kami ahli-ahli PBB menyokong sepenuhnya Dasar Ekonomi Baru yang berteras kepada Ekonomi Hijau dan Ekonomi Hidrogen dan inisiatif yang diambil oleh YAB Premier untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak berlandas kepada perundangan yang telah dimeterai dan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63, LAPORAN IGC dan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak selaras denganPerjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022," jelasnya.
 
Kelapan beliau memberitahu ahli-ahli PBB bertekad untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak dapat dipelihara dan diperteguh agar masyarakat dapat hidup aman, damai dan harmoni.
 
"Selepas membentangkannya, saya kemudiannya menyerahkan usul berkenaan kepada Premier," ujarnya.
Next Post Previous Post