Setiausaha politik bekas menteri kanan ditahan kes rasuah RM80 juta

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan dan pemilik syarikat ditahan SPRM selepas disyaki terbabit rasuah bagi meluluskan projek bernilai RM80 juta. Gambar Ihsan SPRM

KUALA LUMPUR— Bekas setiausaha politik bekas menteri kanan antara dua ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.

Sumber berkata,suspek pertama iaitu lelaki berusia 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 50-an yang juga pemilik sebuah syarikat ditahan semalam kira-kira jam 11 malam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus,” katanya.

Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah bt Halid telah membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 September 2023 selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post