SUPP mahu ‘mastermind’ scammer, Ah Long Singapura ditangkap

Ketua Biro Aduan Awam SUPP, Milton Foo

KUCHING— Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) digesa melakukan siasatan bagi menjejaki ‘mastermind’ scammer dan Ah Long yang membakar kediaman dan premis mangsa di Kota Samarahan.

Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, beliau mahu kes ini disiasat dengan teliti kerana ia bukan kes scammer yang mudah atau biasa berlaku.

“Kes ini (Kota Samarahan) ini sudah melampau dan harus dipandang serius. Scammer sanggup melakukan jenayah khianat dengan api sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda selain mangsa yang ketakutan kerana diugut dan bimbang dicederakan.

“Setakat ini ‘mastermind’ yang mendalangi kegiatan scammer dan Ah Long ini masih bebas, sedangkan penjenayah tempatan yang diupahnya telah dihadapkan ke mahkamah.

“Keluarga mangsa masih dalam kesusahan kejadian ini, justeru saya merayu sekali lagi kepada PDRM dan SPF untuk bekerjasama erat untuk mengesan dan menangkap dalang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Milton berkata, SUPP memandang serius perkara ini dan telah turun padang untuk membantu pihak berkuasa menyiasat perkara ini.

Katanya, Khamis lalu beliau bersama seorang mangsa utama, Kelvin Voon pergi ke Singapura untuk memberi maklumat terkini kepada SPF tentang apa yang telah berlaku di Kuching.

“Saya dan Kelvin Voon turut berjumpa dengan wakil ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura untuk memberi taklimat kepada pegawai berkaitan tentang kes ini,” katanya.

Milton dalam pada itu berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan PDRM khususnya Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan pegawainya yang berjaya menangkap penjenayah dalam tempoh 10 hari selepas kediaman dan premis mangsa dibakar pada 7 Julai.

Beliau memuji Polis Sarawak yang mempunyai kecekapan tinggi dan melaksanakan keadilan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa yang telah kehilangan rumah dan premis perniagaan.

Pada 31 Julai lalu, lima tertuduh yang menjadi ejen Ah Long dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membakar kediaman dan simbah cat di premis milik mangsa di daerah Kota Samarahan.

Mereka didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan terhadap sebuah rumah di Taman Hill View di sini, pada 7 Julai 2023, sekitar jam 2.05 pagi
Next Post Previous Post