Prototaip ART sudah sampai dari China

Gambar kredit UKAS

KOTA SAMARAHAN—Kenderaan prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen Sarawak sudah tiba dari China.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kenderaan itu kini berada di Pelabuhan Senari, di sini.

“Pengangkutan ini akan memberi tumpuan kepada pelajar kita di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Samarahan dahulu.

“Pelajar akan menggunakan ART, dan bayarannya melalui Sarawak Pay, yang akan memberikan diskaun atau tambang istimewa untuk pelajar kita,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC) UNIMAS pada Jumaat.

Dalam sidang media yang sama, Abang Johari berkata pandu uji kenderaan ART itu akan dilakukan di Kuching Isthmus sebelum diuji di laluan antara Kuching - Samarahan.

“Pandu uji ini bagi memastikan ia cekap melalui melalui lorong baharu kita atau laluan khas. Kita akan cuba dulu dan uruskan aliran trafik.

"Apabila ART beroperasi, semuanya akan menjadi digital. Anda masuk dan membuat pembayaran secara digital," katanya, sambil menambah sistem pengangkutan akan memudahkan pelajar untuk melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain.

"Apabila anda mempunyai kemudahan seperti ini, orang ramai akan menghantar anak mereka belajar di sini. Tidak semua mereka akan tinggal di kampus dan mereka terpaksa menggunakan pengangkutan awam," tambahnya.
Next Post Previous Post