Sarawak Pelawa Korea Selatan melabur dalam sektor hidrogen, CSS

SEOUL— Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini mempelawa syarikat-syarikat Korea Selatan agar melabur dalam sektor tenaga hidrogen dan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

Beliau berkata, pelaburan Korea Selatan amat penting kepada ekonomi Sarawak yang kini sedang giat membangunkan sumber tenaga di bawah di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 Sarawak.

“Saya berharap syarikat-syarikat ini mengkaji kemungkinan melabur dalam projek berkenaan di Sarawak,” katanya semasa kunjungan hormat ke pejabat Naib Presiden Eksekutif Unit Hidrogen Posco Holdings, Cho Ju Ik sempena lawatan rasmi ke negara itu pada Rabu.

Posco merupakan sebuah syarikat pembuatan besi waja yang berpangkalan di Pohang, Korea Selatan.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, kementerian amat mengalu-alukan minat Posco untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan dalam sektor hidrogen dan CCS.

Syarikat itu menghasilkan 42,000,000 tan metrik keluli mentah pada 2015, menjadikannya pengilang keenam terbesar di dunia.

Posco buat masa ini mengendalikan dua kilang keluli bersepadu di Korea Selatan di Pohang dan Gwangyang.

Pada 2010, syarikat itu muncul sebagai pengilang keluli terbesar dunia dari segi nilai pasaran dan pada 2012, ia disenaraikan sebagai syarikat korporat 146 terbesar di dunia oleh Fortune Global 500.

Terdahulu kunjungan hormat tersebut bagi mengeratkan persahabatan dengan Posco Holdings yang terlibat dalam pelbagai projek pembangunan di Malaysia.
Next Post Previous Post