Pecah rumah dan curi kenderaan- Pasukan Khas PDRM Kuching tumpaskan Geng Jalil, Geng Piji

KUCHING— Polis menumpaskan ‘Geng Jalil’ dan ‘Geng Piji’ yang dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di daerah Kuching dengan penahanan 25 lelaki tempatan temasuk ketua kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, penangkapan suspek berusia lingkungan 14 hingga 49 tahun itu adalah hasil kejayaan operasi Khas Counter Aggressive Team (CAT) IPD Kuching sejak 16 hingga 31 Julai lalu.

Beliau berkata, seramai 19 suspek terdiri daripada Geng Jalil yang berjaya ditangkap hasil daripada maklumat dan serbuan di sembilan lokasi yang berbeza di sekitar kawasan Kuching

“Kesemua suspek didapati postif dadah jenis Amphetamine dan methamphetamine dan mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga, empat motosikal jenis Honda dan Modenas dan dua batang anak kunci. Turut dirampas sebilah parang, seunit kuku kambing, empat unit cutter dan enam gulung kabel,” katanya dalam sidang media IPD Kuching hari ini.

Ahsmon menambah, berikutan itu sebanyak lapan kertas siasatan berjaya diselesaikan dengan empat daripadanya berjaya dituduh di bawah Seksyen 379, 411 dan 457
Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, operasi yang sama turut berjaya menahan enam suspek warga tempatan dari ‘Geng Piji’ yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 31 hingga 47 tahun didapati positif dadah jenis Amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai 29 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

“Turut dirampas berjaya merampas sebuah kereta, sebatang anak kunci, masing-masing selaras senapang angin buatan sendiri dan senapang patah dan 11 butir peluru senapang patah.

“Tangkapan dan rampasan yang dibuat hasil daripada maklumat dan serbuan di enam lokasi yang berbeza di sekitar kawasan Kuching ini,” katanya.

Ujar Ahsmon, hasil siasatan lanjut, kumpulan ini juga dipercayai turut terlibat 11 lagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan.

Penangkapan ahli geng ini berjaya menyelesaikan enam kes dengan satu daripadanya berjaya dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya.

Beliau menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan ipd kuching di talian 082- 244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.
Next Post Previous Post