Sarawak sedang berunding dengan Persekutuan, tunai satu lagi permintaan

KUCHING— Kerajaan Sarawak mengemukakan satu lagi permintaan selepas Kerajaan Persekutuan bersetuju pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dan syarikat penerbangan MASwing, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, kedua-dua peringkat kerajaan sudah memulakan rundingan bagi membolehkan permintaan ketiga itu dipenuhi.

“Tunggu dolok pengumuman sebelum hujung tahun ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Jabatan Premier Sarawak, di sini malam tadi, lapor Berita Harian.

Pada Januari lalu, Sarawak menyatakan hasrat untuk mengambil alih pentadbiran Pelabuhan Bintulu disusuli permintaan kedua iaitu MASwings, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines pada Jun, yang mana kedua-dua permintaan itu mendapat reaksi positif.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata satu pengumuman akan dibuat berhubung penubuhan Lembaga Penjaga bagi Dana Kekayaan Berdaulat.

“Perincian penubuhan lembaga itu akan diumumkan dalam satu sidang media khas dalam masa terdekat,” katanya.

Rang Undang-Undang Dana Kekayaan Berdaulat 2022 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 22 November lalu dnegan peruntukan awal sebanyak 
 RM8 bilion.

Penubuhan dana berkenaan yang akan mula beroperasi tahun depan menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang berbuat demikian.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata dana itu akan diuruskan secara profesional dan telus oleh Lembaga Penjaga yang terdiri daripada pakar kewangan dan pelaburan.
Next Post Previous Post