Sejam timbul tenggelam sambil bertarung dengan buaya, seorang wanita selamat

KALIMANTAN BARAT— Seorang wanita di Kabupaten Ketapang bertarung dengan buaya selama sejam dan akhirnya selamat walaupun anggota badannya mengalami luka kesan gigitan binatang itu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 27 Julai lalu, di sebuah ladang sawit di Desa Air Hitam Besar, ketika Falmira De Jesus, 38, sedang mengambil air dari sungai untuk mengisi tangki racun.

Buaya itu dikatakan berselindung di sebalik semak samun sehingga kehadirannya tidak disedari mangsa.

“Mangsa tiba-tiba diterkam oleh seekor buaya sebelum diseret ke dalam sungai berhampiran.

“Rakan sekerja mangsa yang mendengar teriakan meminta tolong terus datang ke lokasi dan cuba menyelamatkan mangsa dengan menusuk buaya itu menggunakan galah ,” lapor media tempatan negara itu.

Setelah sejam Falmira timbul tenggelam dalam air bergelut dengan buaya tersebut, akhirnya mangsa berjaya ditarik oleh rakannya ke tebing dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Menceritakan detik paling cemas itu Falmira berkata, dia hanya memikirkan kematian kerana berada dalam air bersama buaya.

“Saya terpaksa menahan kesakitan kerana buaya itu tidak mahu melepaskan gigitan menyebabkan saya lemah dan hampir putus asa.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang menyelamatkan saya dan saya amat terhutang budi,” katanya yang menerima rawatan intensif akibat cedera pada lengan kanan, peha dan kaki.

Kredit Gambar Kosmo Online
Next Post Previous Post