Budak 12 dan 14 tahun dicekup curi motosikal

LIMBANG - Polis memberkas dua budak lelaki bersekolah dalam darjah enam dan rakannya pelajar tingkatan dua kerana dipercayai terlibat kes curi motosikal yang berlaku di bandar ini.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, kedua-dua suspek berusia 12 tahun dan 14 tahun yang masing-masing masih bersekolah itu ditahan pada 27 Julai lepas.

Beliau berkata tangkapan adalah hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah yang membawa kepada tangkapan kedua suspek selain merampas motosikal yang dilaporkan hilang pada bulan lepas.

“Hasil siasatan kedua suspek itu dipercayai telah mencuri motosikal daripada mangsa, seorang lelaki berusia umur 79 tahun pada 25 Julai lepas pada jam 10.30 pagi di belakang bangunan berhampiran Tapak Pasar Malam Limbang.

“Mangsa dipercayai telah meninggalkan anak kunci motosikal di motosikal tersebut kerana hendak ke kedai berhampiran sebelum kedua-dua suspek bertindak membawa lari dan mencuri motosikal secara mudah,”katanya dalam kenyataan media hari ini.   

Kertas siasatan bagi kedua kes itu katanya dibuka untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan .

Parum turut orang ramai lebih berhati-hati dan lebih peka terhadap keselamatan harta benda, motosikal dan lain-lain serta tidak lalai seperti meninggalkan kunci di kenderaan walaupun hanya untuk seketika seperti masuk ke dalam mana-mana kedai.

Beliau berharap ibu bapa memantau gerak geri anak mereka setiap hari di sekolah dan di rumah agar tidak terlibat dengan kegiatan jenayah.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang dan ikuti laman facebook @ipdlimbang atau hubungi terus talian 085-21146 bagi mendapatkan Info keselamatan,”ujarnya.
Next Post Previous Post