Sarawak contoh negeri bebas ekstrimisme agama

PUTRAJAYA— Gabungan Parti Sarawak (GPS) menekankan aspek kestabilan sebagai kunci utama untuk menjayakan pelbagai agenda pembangunan yang lebih diberikan keutamaan dan didambakan oleh rakyat di Borneo.

Pendirian itu dinyatakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sri Perdana, di sini malam tadi.

“Bahkan Sarawak merupakan contoh keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama bebas daripada sebarang fahaman ekstrimisme agama yang songsang,” kata Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dalam kenyataan malam tadi.

“Semua komited dan beriltizam untuk memastikan negara terus stabil bagi meraih kepercayaan tinggi pelabur luar untuk datang ke Malaysia.

“Selain itu Malaysia mesti terus mempertahankan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstrimis yang mempolemikkan agama dan bangsa secara jumud yang memudaratkan,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO itu menambah, semua 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia sepakat bahawa Malaysia mesti terus menumpukan perhatian kepada soal pemerkasaan ekonomi dan pelaburan agar kehidupan rakyat lebih makmur dan sejahtera.

Katanya, Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga diberikan tanggungjawab untuk merencanakan program-program yang dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan keserasian jitu seluruh warga parti-parti Kerajaan Perpaduan hingga ke peringkat akar umbi.
Next Post Previous Post