Lelaki bawa parang pemotong daging cari individu tular wajahnya di media sosial ditangkap

KUCHING-- Seorang lelaki ditangkap malam tadi ketika "memburu" individu yang menularkan wajahnya di media sosial kerana mendakwanya cuba memecah masuk sebuah premis kedai di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 26 tahun ditangkap pada jam 11.10 malam di kawasan blok Jalan Stephen Yong Link.

"Semasa pasukan melakukan tugas rondaan cegah jenayah Team URB Charlie Sektor 2, terima maklumat dari Gerakan Padawan ke lokasi kejadian di mana terdapat seorang lelaki telah ditahan orang awam dalam keadaan mencurigakan. 

"Sampai di lokasi telah tangkap semula seorang lelaki yang diserah oleh pengawal keselamatan bersama sebilah parang pemotong daging yang disimpan di dalam bag sandang suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek ditangkap di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Merbahaya (ABKL) 1958. 

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tubuh badan semasa diserah oleh pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kekerasan dibuat semasa menjalankan tangkapan.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku telah membawa sebilah parang pemotong daging atas tujuan yang tidak munasabah. 

"Sebelum ini iaitu pada 25 Ogos 2023, suspek telah ditularkan dalam laman sosial iaitu Facebook kerana disyaki melakukan kecurian di kawasan itu. 

"Suspek mengesyaki individu yang telah menular wajahnya ialah pemilik sebuah premis kedai yang cuba dipecah masuk oleh suspek sebelum itu dan mencarinya. 

"Namun telah berjaya ditahan oleh orang awam terlebih dahulu," dedahnya.

Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, suspek juga telah dirawat di Hospital Umum Sarawak akibat kecederaan sebagai pesakit luar sahaja dan kini keadaan stabil.

"Reman telah dipohon di Mahkamah Kuching pada hari ini dan perintah reman selama dua hari sehingga 1 September 2023," jelasnya.
Next Post Previous Post