Kes tetak di Matang: Polis berkas lapan individu termasuk "ketua Geng LBC"

KUCHING-- Susulan kes tetak di Matang baru-baru ini, polis berjaya memberkas lapan individu termasuk 'kepala samseng' yang merupakan ketua kepada Local Bad Character (LBC) di kawasan Samariang, Kuching dan Matang. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 21 tahun sehingga 51 tahun. 

"Tangkapan pertama ke atas suspek dilakukan memandangkan salah seorang individu adalah ketua kepada Local Bad Character (LBC) di kawasan Semariang Kuching dan Matang. 

"Semakan rekod ke atas kesemua tangkapan ini mendapati penglibatan utama adalah dalam kegiatan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Abang Zainal berkata, kesemua suspek juga mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah

Tambahnya, beberapa peralatan seperti senjata berupa samurai, serta pakaian yang digunakan oleh beberapa suspek telah berjaya dirampas untuk tujuan siasatan. 

"Punca utama kejadian berlaku adalah disebabkan mangsa telah bersetuju menyewakan kad banknya dengan bayaran RM500 sebulan kepada 3 org lagi rakan yang masih bebas. 

"Tetapi selepas beberapa ketika, mangsa telah membuat aduan palsu kepada bank menyebabkan dia diberikan kad baru. 

"Kesempatan itu digunakan olehnya untuk keluarkan wang sebanyak RM1,090 tanpa pengetahuan suspek yang menyewakan kad dia," dedah Abang Zainal.

Katanya lagi, usaha hubungi suspek telah disekat sehinggalah terjumpa di premis kedai makan dan minum di Matang.

Dedah beliau, tiga suspek utama dilihat memukul mangsa manakala seorang menjadi pemerhati. 

"Kesemua suspek ini telah dikenal pasti dan usaha menangkap sedang giat dilakukan. 

"Hebahan media masa juga telah dibuat pada 22 Ogos 23 dan 24 Ogos 23 oleh Ketua Polis Daerah Padawan," katanya.

Berikutan itu juga kata beliau, pasukan khas yang terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Padawan dan Kuching telah digembleng bersama dalam operasi Cantas Khas ini bagi membanteras elemen gangsterisme di Sarawak

Selain itu, beliau memberitahun tindakan pemeriksaan di rumah kediaman suspek, ahli keluarga suspek dalam atau luar daerah sedang giat dijalankan khususnya ke atas suspek yang masih bebas.

"Siasatan ke atas beberapa suspek utama akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya. 

"Mana-mana individu yang ada maklumat berkenaan tiga suspek yang masih bebas, dialu-alukan untuk tampil memberikan keterangan segera di balai berhampiran," ujarnya.

Abang Zainal menjelaskan pihak Polis percaya baki tiga suspek akan dapat diberkas dalam jangka masa terdekat. 

"Pihak polis juga tidak memandang ringan kes ini dan baki suspek yang belum ditangkap telah didaftarkan sebagai 'Orang Dikehendaki'," katanya.
Next Post Previous Post