Sektor Tenaga Penggerak Utama Ekonomi Sarawak 2030

LONDON-- Pembangunan kesemua sektor lain adalah disebabkan oleh perkembangan industri tenaga yang dilihat menjadi penggerak utama kepada ekonomi Sarawak menjelang 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana industri tenaga akan menjadi tunjang utama ekonomi Sarawak menjelang 2030. 

“Tumpuan Sarawak terhadap tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui akan menjadikan sektor tenaga sebagai tunjang utama ekonomi di negeri ini menjelang tahun 2030 dan seterusnya,” katanya semasa berucap dalam pertemuan bersama pegawai atasan Shell di ibu pejabat Shell di sini pada Sabtu. 

Abang Johari yang mengetuai delegasi ke Sweden, Norway dan U.K telah terbang ke sini dari Oslo pada petang Jumaat untuk mengakhiri lawatan kerja beliau selama seminggu. 

Tujuan lawatan kerja tersebut adalah untuk mengkaji dasar Ombudsman Sweden, inisiatif dan dasar pembangunan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Norway dan U.K. serta industri tenaga boleh diperbaharui di negara-negara tersebut.

Dalam pada itu, Abang Johari menyeru pihak Shell yang mempunyai sejarah panjang dalam industri minyak dan gas di Sarawak untuk terus menjadi rakan kongsi negeri ini dalam pembangunan sumber minyak dan gas termasuk CCS.

Di samping itu, Premier Sarawak telah memberi penghormatan kepada Shell yang telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan ekonomi Sarawak sejak minyak mula digerudi pada 1910 di Miri.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. 

Terdahulu, ketibaan beliau dan delegasinya telah disambut oleh Naib Presiden Eksekutif konvensional Shell Oil and Gas Peter Costello, Naib Presiden Eksekutif Eksplorasi Shell Marc Gerrits, Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman dan Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Jonathan Jolly.

Dalam perkembangan lain, semasa pertemuan bersama pegawai ‘Foreign, Commonwealth and Development Office’ (FCDO), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata Sarawak akan menjadikan UK sebagai model dalam merangka dasar ‘net-zero’ Sarawak.
Next Post Previous Post