SEB Akan Alihkan Segera Tiang Elektrik Terpacak Di Tengah Jalan Kampung Melayu Belaga

KUCHING-- Setelah "diketek" Clarence Chin hingga tular di media sosial berkaitan tiang elektrik terpacak di tengah jalan di Kampung Melayu Belaga, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menegaskan masalah itu akan ditangani segera.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang berkata, pihak kementerian telah menemui pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memindahkan tiang elektrik berkenaan.

"Perkara ini berlaku ekoran jalan baru yang diturap telah dilebarkan menyebabkan tiang lampu jalan memasuki jalan tersebut.

“Pihak kami sudah menemui pihak SEB untuk memindahkan tiang elektrik tersebut dan pihak kami akan menanggung segala kos pemindahan tersebut.

“Perkara ini akan dilakukan secepat yang mungkin oleh pihak kontraktor SEB pada masa yang terdekat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Mengenai jalan baharu diturap itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga menambah, penduduk di kawasan tersebut turut menerima manfaat pembinaan infrastruktur tersebut.

“Kini apa yang kita lihat, kampung tersebut sudah mempunyai jalan yang lebar di mana boleh digunakan oleh kereta,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung tiang elektrik berkenaan yang berisiko menyebabkan kemalangan.

Susulan itu, pihak polis bertindak menutup sebahagian jalan berkenan selepas ia tular.
Next Post Previous Post