"Kenak reject rompuan", pemuda tembak Hilux keluarga gadis terbabit ditangkap

JULAU-- Seorang lelaki bertindak menembak kenderaan keluarga milik keluarga seorang gadis dipercayai kerana dendam selepas cintanya ditolak gadis berkenaan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Andam Sulin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tembak itu sekitar jam 10.45 malam Rabu lalu.

"Pengadu tampil membuat laporan selepas mendapati kenderaan jenis Hilux milik anaknya telah ditembak di bahagian pemandu semasa balik ke rumah di Sungai Pinang, Jalan Wak Buku Pakan, Julau.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bersama pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Julau telah menangkap seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun," katanya dalam kenyataan pada malam Jumaat.

Tambahnya, polis turut merampas dua laras senapang patah bekakuk dan dua laras senapang angin, sebiji peluru hidup dan satu kelosong peluru terpakai.

"Rampasan telah dibuat dengan dipandu arah oleh suspek dan berikutan itu suspek dibawa
ke Ibu Pejabat Polis Daerah Julau untuk siasatan lanjut," tegasnya.

Mengulas lanjut, Andam berkata motif suspek adalah kerana perasaan dendam suspek terhadap keluarga
mangsa kerana cinta suspek ditolak oleh salah seorang daripada keluarga
mangsa.
"Permohonan reman telah dijalankan di Mahkamah Sarikei dan suspek direman selama empat hari di lokap Balai Polis Julau untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Jelasnya lagi kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam untuk tidak mengambil tindakkan undang-undang sendiri.

"Pihak polis juga menasihatkan agar orang awam tidak memiliki senjata api buatan sendiri yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Senjata Api 1960 dan boleh dikenakan tindakkan mengikut Seksyen 8a Akta Senjata 1960. 

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Tegasnya, pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika didapati melanggar akta tersebut.
Next Post Previous Post