Geng Lan ligat curi kabel tumpas, seorang lagi diburu

 
KUCHING-- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan "Geng Lan" dengan tertangkapnya tiga lelaki tempatan yang aktif terlibat kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun ditangkap dalam serbuan berasingan di kawasan rumah kedai Jalan Datuk Abd Rahim dan Jalan Setia Raja pada 3 Ogos lalu sekitar jam 11.45 malam oleh pasukan daripada D4 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kuching bersama 'Counter Aggressive Team (CAT) dan anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Gita.

"Dengan tangkapan ini, pihak polis percaya dapat menyelesaikan sebanyak 18 kes melibatkan kecurian kabel di sini.

"Seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali dengan panggilan Gege dikehendaki bagi membantu siasatan dan telah disenaraikan sebagai Orang Dikehendaki," katanya pada sidang media di IPD Kuching hari ini.

Dalam pada itu, Ahsmon memberitahu, selain tangkapan, polis turut merampas barang kes iaitu seunit topi berwarna merah/biru bertulis Okay, sebuah kenderaan jenis Proton Saga 1.3 jenis CVT warna kelabu, satu anak kunci beserta alat kawalan kenderaan, segulung kabel berukuran lebih kurang 5.92 meter, dua unit pisau cutter, seunit tali penarik kabel berwarna oren dan seunit spanar yang telah diubahsuai.

"Selain itu, seunit screwdriver, dua unit spanar plug, sehelai baju berkolar warna oren biru berlogo TM di bahagian dada sebelah kiri, sebuah motorsikal Modenas Kriss warna hijau gelap berserta sebatang anak kunci bertulisan Areo yang dirampas daripada suspek yang dikenali dengan panggilan Lan.

"Turut dirampas adalah empat keping resit jual beli yang dirampas daripada suspek yang merupakan pengurus kedai barangan lusuh di kawasan Jalan Setia Raja," katanya.

Tambahnya lagi, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amp/meth dan suspek turut memiliki satu rekod melibatkan jenayah dadah dan sembilan rekod jenayah pecah rumah dan curi.

Tegas beliau kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

"Permohonan reman ke atas suspek telah dimohon di Mahkamah Kuching pada 4 Ogos 2023. 

"Anggaran keseluruhan kerugian adalah sebanyak rm RM200,000 dan nilai rampasan yang diperolehi sebanyak RM40,000," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.
Next Post Previous Post