13 kematian akibat rabies di Sarawak

KUCHING-- Sebanyak 13 kematian daripada 15 kes rabies yang direkodkan di Sarawak bagi tempoh 1 Januari hingga 7 Ogos tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck .

Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara bagi tempoh yang sama tahun lalu yang merekodkan lapan kes.

"Dengan pertambahan 15 kes baharu dilaporkan tahun ini, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak kes pertama pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 70 kes dengan 63 kematian," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Dr Ooi berkata, daripada 15 kes yang dilaporkan tahun ini, lima kes adalah dari Bahagian Sibu, empat kes dari Bahagian Serian, tiga kes dari Bahagian Kuching, dua kes dari Bahagian Bintulu dan satu kes dari Bahagian Samarahan. 

Katanya lagi, sebanyak 11 kes yang dilaporkan tahun ini mempunyai sejarah gigitan anjing, dua kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar kucing, manakala dua kes tidak mempunyai sejara pendedahan yang jelas. 

Bagi 13 kes yang mempunyai sejarah digigit anjing dan dicakar kucing pula, beliau memberitahu, lapan kes atau 61.54 peratus tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar oleh haiwan berkenaan. 

"Untuk meningkatkan akses kepada rawatan dan vaksin anti-rabies, jabatan telah menubuhkan Klinik Pasca Gigitan di 64 buah kemudahan kesihatan awam dan 29 buah fasiliti swasta di seluruh Sarawak. 

"Terdapat juga 11 buah hospital yang turut memberikan perkhidmatan suntikan Rabies Immunoglobulin (RI) kepada kes-kes berisiko tinggi," katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, susulan peningkatan kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, orang awam turut diingatkan agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies. 

Jelasnya, rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies. 

"Virus ini terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan manusia terdedah kepada jangkitan rabies melalui gigitan atau kontak langsung dengan air liur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui luka atau lapisan mukosa liar. 

"Jangkitan rabies dalam kalangan manusia katanya boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke otak," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) dalam usaha mencapai Sarawak dan Malaysia yang bebas rabies menjelang tahun 2030. 
Next Post Previous Post