Terpedaya panggilan "Sarjan Lai", kerani di Miri rugi RM250,000

MIRI-- Seorang kerani wanita mengalami kerugian RM250,000 setelah menjadi mangsa penipuan panggilan telefon atau phone scam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 40-an bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Miri.

"Kes dilaporkan pasa 10 Ogos 2023. Menurut mangsa, beliau telah terima panggilan telefon dari nombor 019-3613192 memperkenalkan diri sebagai ‘Pang Hui Lee, (menyamar sebagai) ejen J&T Perak’ pada penghujung bulan Julai 2023 yang lalu. 

"Ejen tersebut mengatakan mangsa telah membuat penghantaran barangan dan hasil semakan pihak J&T mendapati terdapat lima keping mykad, lima keping kad atm dan lima paspot yang dikirim kepada seorang individu di Terengganu. 

"Walau bagaimanapun mangsa menafikan dakwaan suspek, sebelum talian telefon disambungkan ke nombor +87052451072 bagi membolehkan mangsa membuat laporan polis di atas talian dan bercakap dengan ‘Sjn Lai’ dari IPK Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, seterusnya ‘Sjn Lai’ mengatakan hasil semakan butiran mangsa mendapati nama mangsa terlibat dengan satu kumpulan pemerdagangan manusia ke negara Vietnam yang didalangi dua individu 
bergelar Dato’.

"Mangsa yang berasa cemas dengan dakwaan tersebut kemudian mahu ‘Sjn Lai’ bantu menyelesaikan kes itu, tetapi suspek beritahu mangsa perlu merahsiakan perkara itu daripada sesiapa sahaja dan mangsa turut dikehendaki melaporkan diri setiap tiga jam kepada suspek melalui Whatsapp. 

"Selain itu, suspek turut memperkenalkan 'Dato’ Wong’ dari Bukit Aman yang boleh membantu menyelesaikan kes mangsa," jelas Azman.

Kata beliau, mangsa kemudian menghubungi ‘Dato Wong’ dan dimaklumkan satu waran tangkap telah dikeluarkan dan mangsa akan ditangkap pada bila-bila masa serta akan didakwa di mahkamah. 

"Seterusnya, mangsa telah diarahkan menyerahkan semua akaun bank untuk semakan pihak Bank Negara kerana pihak polis mendapati wang pengadu juga terlibat dengan pengubahan wang haram.

"Oleh kerana takut, mangsa telah 
memaklumkan beliau mempunyai empat akaun bank atas namanya, sebelum suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang miliknya ke beberapa akaun bagi tujuan semakan Bank Negara Malaysia.

"Mangsa telah melakukan sembilan transaksi pemindahan wang secara online akaun-akaun bank miliknya serta deposit tunai keseluruhan 
bernilai lebih kurang RM250,000 ke lapan akaun bank yang berlainan pada penghujung bulan Julai 2023 sehingga awal bulan Ogos 2023," dedahnya.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah panggilan dan mesej Whatsapp disekat oleh ‘Sjn Lai’ sebelum mangsa menceritakan perkara ini kepada kakaknya dan mangsa diberitahu telah ditipu. 

Tambahnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani
panggilan telefon yang tidak dikenali. 

"Beritahulah pasangan, rakan atau ahli keluarga anda tentang panggilan telefon yang diterima.

"Semak dengan balai polis, bank atau agensi berkaitan untuk pengesahan," ujarnya.
Next Post Previous Post