Lebih RM1.77 juta dadah dilupuskan JSJN Sarawak: Mancha

KUCHING-- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak melupuskan dadah bernilai RM1,775,558.60 di Kuching Integrated Waste Management Park (KIWMP) Sarawak di Jalan Sungai Tapang hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, barang kes jenayah narkotik yang dilupuskan itu merangkumi 32,358.68 gram dadah syabu, 8,226.17 gram pil ekstasi, 4,118.37 gram dadah ganja, 924.44 gram serbuk ekstasi, 117.55 gram pil erimin 5, 63.97 gram ketamin, 6,453 biji pil nospan, 55 liter air ketum, sebatang pokok ganja dan 2,374 botol urin.

"Kesemua dadah yang dilupuskan ini bernilai RM1,775,558.60 dan boleh 
menampung bekalan untuk kegunaan seramai 200,778 orang pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mancha, barang lupus itu melibatkan 3,416 kes, tahun 2012 hingga tahun 2022 dari 19 buah daerah dalam Kontinjen Sarawak yang telah selesai semua peringkat siasatan dan perbicaraan. 

"Pergerakan barang kes ini dikawal rapi oleh pegawai-pegawai polis dari daerah yang berkenaan hingga ia dikumpulkan, diperiksa dan diserahkan kepada pihak KIWMP, di tapak pelupusan tersebut.

"Proses pelupusan barang kes ini disaksikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah serta pegawai-pegawai JSJN Sarawak. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu pelupusan barang itu menggunakan kaedah pemusnahan selamat yang menggunakan teknologi terkini yang diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia. 

Dalam pada itu, Mancha berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Ogos 2023, JSJN Sarawak merekodkan tangkapan seramai 6,807 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, 
termasuk 109 pengedar dadah dengan nilai rampasan dadah keseluruhan sebanyak RM128.7 juta.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka dinasihatkan untuk menyalurkannya ke hotline JSJN di talian 012-2087222," ujarnya.
Next Post Previous Post