Pembangunan kratom harus seimbang dengan potensi manfaat dan risiko: Fadillah

KUALA LUMPUR-- Pembangunan kratom, tumbuhan tropika yang terkenal dengan sifat perubatannya yang mengandungi alkaloid psikoaktif ke dalam industri harus mesti seimbang dengan potensi manfaat dan risikonya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, penggunaan kratom di Malaysia dikawal selia dengan teliti oleh undang-undang dan dasar yang ketat.

"Malaysia menggunakan pendekatan pelbagai aspek yang melibatkan pengawalseliaan, penyelidikan dan penglibatan masyarakat.

"Rangka kerja undang-undang dalam tadbir urus kratom merangkumi Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952  yang mengenakan kawalan ketat ke atas penanaman, pemilikan dan penjualan.

“Sejajar dengan itu, komitmen kerajaan terhadap penyelidikan saintifik menekankan dedikasinya untuk membuat keputusan termaklum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Persidangan Perubatan Integratif Antarabangsa Keempat dan Kongres Asia yang julung kali mengenai Kratom di sini hari ini.

Untuk itu, tegas Fadillah Malaysia memerlukan pemahaman menyeluruh mengenai sifat dan aplikasi kratom yang boleh dijadikan industri komoditi menguntungkan melalui pelaburan dalam botani, farmakologi dan perubatan.

Tambahnya, pendekatan strategik terhadap kratom menggariskan usaha Malaysia untuk mengekalkan budaya dan kemajuan ekonomi.

“Strategi holistik negara melibatkan semua pihak berkepentingan, mengimbangi kemajuan dengan warisan," jelasnya.

Katanya lagi, sektor komoditi Malaysia memainkan peranan penting dalam menjamin rantaian bekalan makanan dunia.

Menurutnya terutamanya minyak sawit dan koko adalah bahan penting dalam pelbagai produk makanan yang dihasilkan secara bertanggungjawab dan mampan.

Justeru, bagi melangkah ke hadapan, beliau memberitahu kerajaan kekal komited terhadap pembuatan keputusan berasaskan data serta menyesuaikan peraturan mengikut keperluan untuk mengharmonikan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Next Post Previous Post