Bukan sekadar kongkalikong, akhirnya PDP-PSB sah ‘kahwin’ Disember ini

SIBU—Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengumumkan akan bergabung secara rasmi pada Disember ini, dengan tumpuan utama berkhidmat kepada rakyat.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

“Mulai saat ini, kami akan melupakan kisah lama dan bergerak ke hadapan. 

“Kami mahu memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dari seluruh hati kami yang paling murni, semuanya demi kebaikan rakyat,” kata Tiong.

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata demikian pada majlis Makan Malam Perpaduan malam tadi yang turut dihadiri Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh serta pimpinan kedua-dua parti itu, lapor media tempatan.

“Penyatuan PDP dan PSB bukan sekadar cerita ‘kongkalikong’ atau cakap tak serupa bikin. Saya mahu kedua-dua pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi di seluruh negeri bekerjasama.

“Kedua-dua parti harus buang yang keruh ambil yang jernih. Penyatuan menzahirkan hasrat Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu Sarawak diutamakan dalam segala hal,” katanya.

Pada masa yang sama, Tiong mengingatkan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain agar tidak mengamalkan sikap ‘tikam belakang’ dan membuat tuduhan tidak berasas yang boleh menggugat kestabilan dan perpaduan parti.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut berterima kasih kepada Abang Johari kerana memberi peluang dan sokongan kepada kedua-dua parti untuk berbincang dan bekerjasama.

Sementara itu Soon Koh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan berkata, tidak ada perubahan dari segi nama parti selepas penggabungan kedua-dua parti.

“PDP adalah parti komponen di bawah GPS, justeru parti baharu haruslah PDP dan Tiong kekal sebagai presiden.

“Kita hanya perlu memperhalusi undang-undang dan perlembagaan kedua-dua parti,” katanya.

Kedua-dua parti memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur pada 13 Julai.
Next Post Previous Post