Premier Sarawak kongsi pengalaman, lihat pelaksanaan perundangan Ombudsman Sweden

STOCKHOLM-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai kerajaan negeri melakukan lawatan penanda aras ke Parlimen Sweden bagi berkongsi pengalaman dan melihat kepada pelaksanaan perundangan Ombudsman di negara tersebut.

Memetik laporan UKAS, lawatan itu sempena lawatan kerja rasmi Abang Johari selama dua hari di Sweden.

Sebelum ini, Abang Johari telah memaklumkan hasrat kerajaan Sarawak untuk memperkasakan peranan dan fungsi ombudsman menerusi penggubalan Ordinan Ombudsman Sarawak dengan menjadikan Sweden sebagai model.

Sweden telah dipilih sebagai rakan kongsi penanda aras kerana terkenal dengan legasi yang terhormat dalam menegakkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia, ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau yang mengetuai rombongan kerajaan Sarawak itu turut diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Turut sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Johari yang turut ditemani isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bersama rombongan itu tiba di sebuah hotel penginapan di sini pada jam 9 malam waktu tempatan.

Sementara itu, ketibaan Premier Sarawak telah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Ahmad Nazri Mohd Hassan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta beberapa pegawai tertinggi kerajaan Sarawak dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Semasa lawatan kerja itu, Premier Sarawak serta rombongan juga akan mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa tenaga dan pengendali kuasa di Sweden.

Premier Sarawak bersama rombongan seterusnya akan meneruskan lawatan ke Norway dengan tujuan mendapatkan pandangan tentang pembangunan dan pengendalian kemudahan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan hidrogen di Bergen.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut akan menemui pegawai Kementerian Petroleum dan Tenaga Norway serta mengadakan perbincangan bersama pemain industri mengenai inisiatif CCS, pelepasan sifar bersih dan penyahkarbonan.

Premier Sarawak kemudiannya akan menamatkan lawatan kerjanya di London di mana beliau akan mengadakan perjumpaan bersama pegawai atasan Shell di ibu pejabat syarikat multinasional tersebut.

Gambar kredit UKAS
Next Post Previous Post