Beli secara bank-in, "kutip" di Batu 10, pemuda dicekup bersama syabu

KUCHING—Beli dadah secara "bank-in" sebelum kutip barang terlarang terbabit di Batu 10, dedah pemuda yang dicekup bersama syabu di parkir kenderaan berhadapan sebuah kedai kopi 24, Matang Jaya di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditangkap sekitar jam 2 pagi di lokasi terbabit.

"Semasa pemeriksaan dibuat, suspek telah menyerahkan sendiri dari genggaman tangan kanannya satu paket plastik besar lutsinar di dalamnya terdapat 11 paket plastik kecil lutsinar dan satu paket plastik kecil lutsinar warna biru yang masing-masing di dalamnya mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar dianggarkan 6.75 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, tegasnya barang kes dirampas dan suspek dibawa balik ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Padawan untuk tindakan selanjutnya. 

Jelasnya, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1,350.

Selain itu Abang Zainal berkata, saringan awal urin suspek didapati positif dadah Methamphetamine/Amphetamine.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu siasatan awal polis, suspek mengaku terlibat dengan penagihan dadah jenis syabu sejak penghujung 2021 sehingga sekarang.

"Suspek mengaku ke atas pemilikan dadah yang diserahkan dan mendedahkan mendapat bekalan dadah syabu secara bank-in dan dadah dikutip di kawasan Batu 10," ujarnya.

Tambahnya, polis kini meneruskan usaha untuk mengenal pasti dan mengesan pengedar yang terlibat.

Tegasnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.
Next Post Previous Post