Remaja tertusuk buluh tembus perut
GUA MUSANG— Seorang remaja lelaki mengalami detik ngeri selepas perutnya tembus akibat tertusuk sebatang buluh dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Gua Musang-Jeli di Jambatan Pulau Setelu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam ketika mangsa berusia 13 tahun menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu untuk memancing.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa terlanggar belakang sebuah pacuan empat roda dengan muatan buluh yang sedang parkir di tepi jalan atas Jambatan Pulau Setelu.
“Salah satu batang buluh berukuran dua meter telah tertikam menembusi perut mangsa,” katanya dalam media.
Remaja tersebut kemudian dibawa orang awam ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Kes disiasat dibawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Siasatan lanjut masih dijalankan.