Vesel Kargo Ditahan Gagal Pamer Dokumen Semasa Diperiksa

KUCHING— Sebuah vesel kargo ditahan selepas gagal mempamerkan dokumen pertukaran nakhoda kapal di dalam "Certificate of Malaysia Registery" dan Domestic Shipping License (DSL) ketika diperiksa
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata vesel kargo itu ditahan pada jarak lebih kurang 1.9 batu nautika Timur Laut Tanjung Muara Tebas.

"Vesel kargo berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal mengemukakan DSL yang sah semasa diperiksa.
 
"Selain kesalahan gagal mengemukakan DSL, vesel terbabit turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan yang sama kerana gagal mempamerkan dokumen pertukaran nakhoda kapal di dalam Certificate of Malaysia Registery ketika diperiksa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan dan penggeledahan lanjut mendapati, vesel kargo berkenaan dikendalikan oleh 14 kru termasuk nakhoda (Master) terdiri daripada seorang warga tempatan, tiga warga India, dan 10 warga Indonesia.

Bagaimanapun, katanya kesemua kru dan nakhoda berumur antara 21 hingga 68 tahun memiliki dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.
 
Susulan itu, tegasnya, vesel dan kru telah diringi ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
 
Sehubungan itu, kata Azman, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 yang beroperasi 24 jam.
Next Post Previous Post