5 premis memproses roti dan kek kotor dikompaun RM22, 600
BINTULU: Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu (PKBB) telah mengeluarkan 10 notis kompaun berjumlah RM22, 600 terhadap 5 premis roti dan kek di bahagian ini kerana tidak memenuhi klasifikasi standard kebersihan yang ditetapkan.
PKBB dalam kenyataannya mengesahkan, dalam Ops Premis Bersih yang telah dijalankan di bahagian ini pada 15 dan 16 Ogos, seramai 18 penguatkuasa telah menjalankan pemeriksaan terhadap 13 premis memproses roti dan kek.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati lima premis tidak mengikuti syarat kebersihan yang ditetapkan yang mana premis terbabit diarah tutup.
Antara kesalahan yang dikenalpasti semasa operasi dijalankan termasuk kehadiran makhluk perosak di premis, pengendali makanan tidak memakai penutup kepala, premis berada dalam keadaan kotor dan tidak diselenggara dengan baik.
Dalam masa sama, makanan tidak disediakan secara bersih dan tidak disimpan dalam bekas tertutup.
Dalam pada itu, proses penyahbekuan makanan yang salah juga merupakan antara sebab notis kompaun dikeluarkan.
PKBB dalam masa sama mengingatkan bahawa segala makanan dan ramuan makanan tidak dibenarkan diletakkan terus atas lantai, tetapi harus disusun dengan jarak minimum 20 sentimeter dari atas lantai.
Pemilik premis turut diingatkan supaya sentiasa mengekalkan kebersihan premis makanan sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Ops Premis Bersih seperti ini akan terus dilaksanakan dari masa ke masa bagi memastikan makanan yang dijual kepada pengguna sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan.
Gambar PKBB
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.