TPM Fadillah imbau kenangan lawat sekolah lama di Parit Buntar
PARIT BUNTAR— Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu pengetahuan.
Begitu coret Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika mengimbau kenangan melawat SMK Panglima Bukit Gantang, di sini semalam.
Fadillah, yang pernah belajar di sekolah itu dari Tingkatan Satu sehingga ke Tingkatan Enam, tidak pernah melupakan jasa, tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan oleh bekas guru-gurunya.
“Alhamdulillah petang ini, saya berkesempatan menjejakkan kaki sekali lagi ke sekolah ini. Ini adalah kunjungan pertama saya ke sekolah ini selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.
“Saya dikira bertuah kerana ditawarkan program pertukaran pelajar Sarawak di bawah Yayasan Sarawak dan dihantar ke sekolah menengah ini mulai 1975 sehingga 1981, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
“Jasa, tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan oleh bekas guru-guru saya di SMK Panglima Bukit Gantang hanya Allah SWT jua yang dapat membalasnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Fadillah ketika menjadi Menteri Kerja Raya dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pernah beberapa kali datang melawat sekolah itu.
Antaranya beliau pernah bersama guru, kakitangan dan pelajar sekolah ini pada Majlis Ramah Mesra pada 18 Julai 2014 ; menghadiri Sambutan Jubli Emas SMKPBG pada 26 September 2015 ; melawat SMKPBG sempena Jelajah FTRoadpedia KKR pada 29 Julai 2017 dan mengadakan Lawatan Tapak Projek Tebatan Banjir pada 28 Februari 2018.
Dalam perjumpaan bersama guru dan pelajar sekolah berkenaan semalam, beliau meluluskan permohonan untuk beberapa projek penambahbaikan kemudahan untuk SMKPBG termasuk padang, surau, dewan makan dan asrama sekolah.
“Saya mendoakan kesejahteraan buat semua dan semoga SMK Panglima Bukit Gantang terus cemerlang dan maju jaya,”katanya sambil berkongsi berkongsi gambar kenangan dengan warga sekolah.