24/8 Sarawak pelajari perniagaan Pengawalan dan Penyimpanan Karbon

Gambar Kredit Jiwa Bakti

BERGEN (Norway): Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lawatannya ke Norway terdahulu bagi mengkaji tabung kekayaan berdaulat dan pesaraan membuahkan hasil yang diidamkan.
 
Abang Johari melawat Norway kira-kira setahun lalu untuk mendapatkan maklumat berkaitan tabung kekayaan berdaulat Norway dan hasilnya ordinan Tabung Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak (SWFF) berjaya digubalkan.
 
“Ini adalah lawatan kedua saya ke Norway dalam masa 12 bulan (dan tabung kekayaan berdaulat Sarawak kini bersedia untuk beroperasi),” katanya pada majlis makan malam dianjurkan oleh Petros sempena lawatan kerja rasmi dua hari Premier Sarawak ke sini.
 
Beliau berkata, Pengerusi SWFF bersama-sama anggota Lembaga Penjaganya telah dilantik dan tabung itu akan beroperasi pada Januari 2024. Majlis makan malam itu turut dihadiri Datuk Bandar Bergen.
 
Menurut Premier Sarawak, lawatan keduanya ke sini adalah untuk mempelajari pelbagai aspek berkaitan perniagaan Pengawalan dan Penyimpanan Karbon (CCS).
 
“Yang menarik minat Sarawak adalah berkenaan protokol antarabangsa ke atas penyelarasan pergerakan lintas sempadan perangkap karbon untuk disimpan jauh daripada negara asal,” katanya.
 
Premier Sarawak menegaskan, CCS adalah perkara baharu di Asia dan tiada protokol antarabangsa bagi menyelaras pergerakan perangkap karbon.
 
Terdahulu pada siangnya, Abang Johari bersama-sama rombongan melawat fasiliti dan teknologi CCS dan pusat pengujiannya di utara Norway.
 
Gambar Kredit Jiwa Bakti

Beliau berkata, rombongan dari Sarawak mendapat banyak pengetahuan berkaitan CCS hasil daripada lawatan itu dan percaya ia memberi manfaat kepada Sarawak untuk membangunkan CCS
 
Untuk rekod, Sarawak berada di hadapan dalam perniagaan CCS di wilayah Asia sehingga industri dari Korea menaruh minat untuk menyimpan karbon yang diperangkap ke dalam telaga minyak yang ditinggalkan di luar pantai Sarawak.
 
Mengiringi Premier Sarawak dalam rangka lawatan kerja rasmi itu ialah Timbalan beliau, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohd. Abu Bakar Marzuki dan ketua jabatan dan GLC.
Next Post Previous Post