Gabungan veteran Australia, New Zealand 'berkampung' di Sarawak

KUCHING-- Gabungan veteran Australia dan New Zealand yang pernah berkhidmat pada zaman konfrantasi Indonesia dengan Malaysia akan 'berkampung' di Sarawak.

Gabungan itu dalam kenyataannya berkata, program "The 2023 Australian Reunion Visit to Sarawak" itu bersempena ulang tahun ke-57 pemeteraian Perjanjian Damai Malaysia-Indonesia yang telah menamatkan Konfrontasi Indonesia dengan Malaysia.

"Rombongan veteran Australia bersama keluarga mereka telah pun tiba di Kuching.

"Mereka berhasrat untuk menyertai rakan-rakan seperjuangan dari veteran tentera dan polis Malaysia dan Komanwel bagi menyertai kempen penghormatan dan memperingati pejuang-pejuang pasca Perang Dunia Kedua," katanya.

Darurat Malaya ialah 'perang tidak diisytiharkan' yang berlaku di Persekutuan Tanah Melayu sejurus selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, antara 16 Jun 1948 dan 31 Julai 1960.

Selepas pemberontakan yang tidak berjaya di Brunei pada Disember 1962, Konfrontasi Indonesia dengan Malaysia merupakan satu lagi perang yang tidak diisytiharkan bermula dari 24 Disember 1962 berikutan beberapa siri serbuan rentas sempadan ke dalam wilayah Malaysia.

Unit ketenteraan Australia dan New Zealand bertempur di Borneo dan Malaysia Barat sebagai sebahagian daripada pasukan British dan Komanwel yang lebih besar di bawah keseluruhan pemerintahan British.

Konfrontasi telah ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Damai Malaysia-Indonesia atau ‘Jakarta Accord’ di Istana Merdeka di Jakarta, Indonesia pada 11 Ogos 1966 – 57 tahun lalu pada bulan ini.

Pada 2011, Jabatan Hal Ehwal Veteran Australia menetapkan 31 Ogos (tarikh Kemerdekaan Malaya pada 1957) sebagai tarikh peringatan rasmi Australia untuk kedua-dua kempen ini.

Malah, gabungan itu juga akan mengambil bahagian dalam pelbagai acara penting selain mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Persatuan Veteran Sarawak, dan menziarahi ke Makam Pahlawan, Taman Budaya di Kuching yang mana sebatang pokok telah ditanam tahun lepas sebagai mengingati mendiang Presiden Cawangan Brian Selby (1945-2022).

Tambahnya, pada hari Isnin ini (28 Ogos 2023), kontinjen veteran tentera Australia dan New Zealand serta keluarga mereka akan berkumpul di
Makam Pahlawan, Taman Budaya untuk mengadakan upacara memperingati.

Upacara itu nanti akan disusun atur oleh Jawatankuasa Pembangunan Warisan Sarawak dengan sokongan Tabung Pemudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan.

Selain itu, rombongan gabungan tersebut juga akan berkunjung ke Batu Lintang Memorial.

"Sehubungan itu, kami berharap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dapat memberi sokongan kepada pihak kami nanti," ujarnya.
Next Post Previous Post