Sarawak kini negeri berpendapatan tinggi, Bank Dunia

KUCHING—Sarawak kini mencapai status negeri berpendapatan tinggi, menurut data terbaharu Bank Dunia.

Pakar ekonomi utama Bank Dunia, Apurva Sanghi berkata, Sarawak layak mencapai status itu kerana mempunyai pendapatan negara kasar (GNI) per kapita melebihi AS$13,205.

“Bank Dunia baru sahaja mengeluarkan data pendapatan tinggi terkini kami. 83/218 negara kini berpendapatan tinggi. 

“Ketika Malaysia dalam usahanya mencapai status itu, terdapat satu kejutan menarik - Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi,” ciapnya menerusi Twitter.

Menurut angka yang turut dikongsi Apurva, Sarawak kini menyertai barisan Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur, lapor The Borneo Post.

Apurva menyatakan bahawa data KDNK peringkat negeri diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan ditukar kepada dolar AS menggunakan kaedah Atlas Bank Dunia, dibahagikan dengan populasi pertengahan tahun.

Menurut laman webnya, Bank Dunia memperuntukkan ekonomi kepada empat kumpulan pendapatan: berpendapatan rendah, sederhana rendah, sederhana atas dan berpendapatan tinggi.

Klasifikasi pendapatan terkininya mempunyai pendapatan rendah di bawah AS$1,085, pendapatan sederhana rendah antara AS$1,089 dan AS$4,255, pendapatan pertengahan atas antara AS$4,256 dan AS$13,205, manakala pendapatan tinggi lebih daripada AS$13,205.

Klasifikasi dikemas kini setiap tahun pada 1 Julai dan berdasarkan PNK per kapita, diukur dalam dolar AS, tahun sebelumnya.

Klasifikasi pendapatan Bank Dunia bertujuan untuk mencerminkan tahap pembangunan negara, menggunakan Atlas GNI per kapita sebagai penunjuk kapasiti ekonomi yang tersedia secara meluas.

Beliau menambah, negara terbaharu mencapai status berpendapatan tinggi ialah ialah Guyana dan Samoa Amerika.
Next Post Previous Post