MPV polis terlibat kemalangan, dilanggar kereta yang cuba memotong

SRI AMAN-- Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu terlibat kemalangan setelah cuba mengelak sebuah kereta yang memotong secara bahaya di Kilometer 5 Jalan Sri Aman, berhadapan Taman Perumahan Sentosa Indah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sri DSP Zuriawati Zainal Abidin berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10 pagi tadi melibatkan Kenderaan Pasukan (Proton X70) dari IPD Lubok Antu dengan kereta Peugeot.


"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu Pregeot dari arah pekan Sri Aman hendak menuju ke Kuching dalam proses hendak memotong kenderaan di hadapan dan masuk laluan bertentangan lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan belakang sebuah kenderaan pasukan dari IPD Lubok Antu jenis X70 yang bergerak dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, dalam kemalangan itu tiada kecederaan pada kedua-dua pemandu.

Tambahnya, pemandu yang terlibat juga telah hadir ke Balai Polis Trafik Sri Aman untuk membuat aduan dan siasatan selanjutnya. 

Tegasnya, kes diklasifikasikan di bawah Rule 6 (1) Ln 166/59 (Memotong Secara Bahaya). 

"Dinasihatkan kepada pengguna jalan raya yang lain supaya berhati-hati ketika memandu demi keselamatan bersama," ujarnya.
Next Post Previous Post