Salahguna kuasa, gubah wang haram - Bekas pegawai kanan KBS dipenjara 15 tahun, denda RM284.2 juta, harta dirampas

KUALA LUMPUR—Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arshad dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM284.2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 96 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, 11 tahun lalu.

Utusan Online melaporkan, Hakim Kamarudin Kamsun mensabitkan tertuduh atas 17 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu, 15 pertuduhan salah guna kedudukan dan 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

Kamarudin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membebaskan Otman dengan jaminan tambahan RM300,000 dengan seorang penjamin. 

Sebelum ini, dia dibebaskan dengan jaminan RM250,000.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua harta seperti dalam lampiran dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu, Astro Awani melaporkan, Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Otman, 64, di akhir kes pembelaan.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.
 
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Next Post Previous Post