Sarawak impikan saintis Penan, Abang Johari

BARAM— Usaha gigih kerajaan Sarawak selama lebih 30 tahun membangunkan masyarakat nomad Penan mulai membuahkan hasil apabila ada kalangan mereka sudah menjawat jawatan tertinggi perkhidmatan awam sebagai Residen dan Pegawai Daerah, manakala dua lagi bakal menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah tidak lama lagi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu ramai di kalangan mereka turut memegang jawatan penting di sektor swasta, membuktikan mereka tidak lagi mundur.

“Berdasarkan statistik antara 1998 hingga 2022 kaum Penan kini mempunyai 226 graduan. Daripada jumlah ini, dua masih belajar di peringkat doktor falsafah, tiga tamat ijazah sarjana. Seramai 142 lagi mempunyai ijazah manakala 81 lagi pemegang diploma.

“Walaupun jumlah populasi Penan kecil namun ini pencapaian yang membanggakan dalam masa tiga dekad. Lebih ramai doktor falsafah di kalangan Penan bakal muncul hasil pendidikan awal yang dilaksanakan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tadika Komuniti Sedidik Penan di Kawasan Apoh/Tutoh TADIKA SeDidik Penan Long Leng Baram, Miri hari ini.

Abang Johari berkata, hasil bantuan kerajaan negeri sejak era pemerintahan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kehidupan masyarakat itu telah berubah sehingga ramai anak-anak Penan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Saya gembira kerana masyarakat Penan sekarang sudah jauh berubah. Buktinya mereka menerima pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dan sangat serius terhadap pendidikan anak-anak mereka,” katanya.

Abang Johari berkata, kaum Penan yang begitu akrab dengan alam semula jadi sebagai pelindung hutan memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan membangunkan ekonomi hijau negeri.

“Kaum Penan juga mempunyai hubungan rapat dengan alam semula jadi sebagai pelindung hutan. Golongan terpelajar Penan ini kelak bakal memainkan peranan signifikan dalam perniagaan karbon, perlindungan kepelbagaian bio.

“Pada masa depan Sarawak akan mempunyai saintis di kalangan Penan yang mahir dalam bidang rawatan herba dan produk farmaseutikal,” katanya.

Mengenai pelancaran TADIKA SeDidik Penan hari ini, Abang Johari berkata, ia adalah selari dengan dasar kerajaan Sarawak untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak termasuk di pedalaman.

Pada majlis itu beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM2.25 juta bagi membangunkan rumah panjang serta tadika komuniti Penan.
Next Post Previous Post