MOTS guna teknologi AI pantau trafik di Miri

MIRI— Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) hari ini melancarkan penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) di lampu isyarat berhadapan Bintang Megamall.

Menterinya, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, pemilihan lokasi itu selepas mengambil kira banyak kemalangan berlaku di kawasan itu.

“AI ini dapat mengesan pengguna jalan raya yang memandu terlalu laju atau melanggar lampu isyarat. Dalam tempoh seminggu yang lalu, seorang pemandu yang sama dikesan memecut laju sebanyak lapan kali di kawasan lampu trafik berkenaan,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Pelancaran Proof-of-Concept : AI Violation-Detection CCTV di persimpangan Jalan Merbau Miri pada Selasa.

Lee berkata, penggunaan AI ini akan membantu mengumpul data tingkah laku pemandu, aliran dan volum trafik di samping warna, klasifikasi, model dan jenama kenderaan.

“Selain itu, data tentang kelajuan perjalanan dan nombor pendaftaran kenderaan, mengesan dan merekod kenderaan yang melebihi had laju secara automatik dan merekod kesalahan pemandu yang menggunakan telefon bimbit, merokok dan tidak menggunakan tali pinggang keledar semasa memandu,” katanya.

Lee yang juga ADUN Senadin berkata, MOTS juga akan memulakan pelaksanaan program Perubahan Tingkah Laku (ABC) di seluruh Sarawak.

“Tujuan program kami ingin mengubah tingkah laku pemandu supaya mereka mematuhi peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya,” tambahnya.

Beliau amat mengesyorkan kaedah ini bagi membendung tingkah laku pemandu yang tidak bertanggungjawab dan mengurangkan kadar kemalangan di kawasan berisiko tinggi.

Hadir sama Pengarah KTT SDN BHD Keith Chan, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri Fifi Suhesty Hasmuni.
Next Post Previous Post