Perkhidmatan bas MARA Liner hubungkan luar bandar Sabah, Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, pada Isnin. Gambar kredit UKAS

KUCHING— Kerajaan persekutuan bercadang melaksanakan perkhidmatan bas henti-henti atau ekpress untuk menghubungkan kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah melalui jaringan laluan Lebuhraya Pan Borneo.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkhidmatan itu akan disediakan oleh MARA Liner yang akan beroperasi dari Kuching melalui Brunei hingga ke penghujung Lebuhraya Pan Borneo di Tawau, Sabah.

“Sebagai permulaan perkhidmatan bas MARA Liner itu akan dimulakan di Sarawak iaitu dari Kuching ke Merapok di Lawas berikutan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri itu kini hampir siap sepenuhnya manakala di Sabah masih dalam pembinaan.

“Ini beberapa ‘game changer’ yang telah dicadangkan dan MARA Liner akan dengan segera melakukan kajian serta melakukan ‘pilot projek’ untuk kepentingan sosial masyarakat.

“Ia merupakan satu perubahan besar yang akan memberikan impak sosial kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Projek-Projek Kemajuan Desa dan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Isnin.

Beliau menambah, MARA Liner juga akan menyediakan perkhidmatan bas henti-henti dengan projek projek perintisnya akan bermula bulan depan di Kampung Semilang dan Kampung Beradek di dalam Parlimen Samarahan dan Santubong.

Tambahnya, KKDW membelanjakan RM526 juta untuk beberapa projek pembangunan membabitkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar untuk kesejahteraan rakyat di Sarawak setakat bulan lepas.

“Ini termasuk pembinaan Jalan Meritam Telahak/Bong Abai (Fasa 4) di Bahagian Limbang dan projek jalan menuju ke rumah panjang Skuyat Lama di Bahagian Betong, dengan kos keseluruhan RM170 juta.

“Kementerian turut menyiapkan sebanyak 14 projek bekalan air luar bandar bernilai RM302.9 juta.

“KKDW juga telah menyiapkan 410 rumah di bawah program perumahan rakyat miskin, sambil menambah sebanyak 2,457 lagi telah dibaik pulih di seluruh Sarawak sehingga 15 Jun 2023,” katanya.

Selain itu, kementerian telah meluluskan sebanyak 373 rumah baharu dibina di bawah program perumahan rakyat miskin dan akan membaik pulih sebanyak 1,192 lagi di seluruh Sarawak tahun ini.

Beliau berkata beberapa rancangan projek yang dibentangkan pada mesyuarat pertama telah lebih 90 peratus dilaksanakan.

“Jawatankuasa penyelarasan akan melakukan susulan terhadap baki 10 peratus lagi supaya kita tahu masalah yang dihadapi kerajaan Sarawak terutama dalam pelaksanaan projek di kawasan luar bandar,” tambahnya.

Beliau berkata jawatankuasa penyelarasan akan melakukan susulan terhadap baki 10 peratus lagi.
Next Post Previous Post