PDRM keluarkan hampir 800 saman

KUCHING-- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengeluarkan sebanyak 795 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Khas Fasa II bagi tempoh 29 Jun hingga 2 Julai.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, sepanjang tempoh itu juga, seramai 31 orang telah ditangkap.

"15 orang ditangkap di atas kesalahan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, 11 tangkapan ke atas individu melibatkan lain-lain kesalahan jenayah, satu tangkapan melibatkan jenayah komersil dan empat tangkapan melibatkan kesalahan trafik," jelasnya dalam satu kenyataan media malam ini.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 8,926 kenderaan telah diperiksa dengan pecahan kereta 4,784 buah, motorsikal 3,472 buah dan lain-lain kenderaan 670 buah.

Tegasnya, objektif utama operasi ini dijalankan adalah untuk membanteras dan mencegah jenayah bagi kes-kes yang meningkat khususnya kes kecurian kenderaan, rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan ramai, kawasan sasaran dan berisiko tinggi termasuk melaksanakan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi strategik.

"Operasi pencegahan jenayah seumpana ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mencegah jenayah serta menjamin keselamatan masyarakat awam di kawasan setempat khususnya di bandaraya Kuching," ujarnya.
Next Post Previous Post