Jualan merudum, Mohd Sabrie rayu sokongan masyarakat bantu beli produk

 
MIRI— ‘Jualan kamek merudum hampir dua bulan juak dah,’ kata usahawan tempatan orang kurang upaya (OKU) fizikal, Mohd Sabrie Mohamad Brahim dari Kampung Bakam, Miri.

Jelasnya keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan jualan produknya semakin berkurang dan perniagaan semakin merosot membuatkan pendapatannya turut terjejas.

“Moga Allah hadirkan insan-insan pemurah dan memborong jualan kami. Kami tak minta umpan, tapi kami mohon joran pancing, dengan joran pancing kami inilah digunakan untuk menyara anak-anak, ahli keluarga dan memberi khidmat berkualiti untuk masyarakat,”katanya kepada Borneo Network hari ini.

Mohd Sabrie berkata selepas jualan makanan keringnya suram di kedainya di Miri, beliau kini sedang menyiapkan pusat pemprosesan produk makanan kering dan basah berhampiran rumah.

“Demi mempercepatkan proses pengeluaran produk kami dan proses penghantaran kepada sahabat-sahabat, sedikit demi sedikit kami menyiapkan tempat pemprosesan ini di tepi rumah,”katanya lagi.

Sebelum ini jelasnya dia mendapat bantuan dibawah program PERKESO yang menyediakan bantuan mesin-mesin untuk pemprosesan makanan.

“Bagaimanapun tempat tidak disediakan, jadi kami berusaha membina satu tempat pemprosesan ditepi rumah sahaja.

Ada rezeki sikit demi sikit kami buat kerana bajet ini adalah duit sendiri, ada pembeli, baharulah ada bajet,” luahnya.

Pada masa ini katanya kerja pembinaan tempat pemprosesan itu hanya tinggal bahagian bumbung dan cat dan akan diteruskan sekiranya ada bajet lebih.

Jelas Mohd Sabrie beliau perlu kuat demi mencari sesuap nasi untuk menampung empat anaknya yang masih bersekolah selain ingin menyelamatkan empayar perniagaannya yang pernah ‘berdiri megah’ suatu ketika dulu di Sarawak.

Di sebalik kegigihannya beliau menyimpan kisah hitam yang menimpanya pada 27 Februari 2015, apabila dilanggar sebuah lori 3 tan ketika dalam perjalanan pulang sekitar jam 8 malam, menyebabkan kaki kirinya hancur dan keretanya rosak teruk walaupun belum sempat membayar pinjaman bulan pertama.

Detik menyayat hati itu berlaku ketika dia mahu pulang cepat membawa anaknya Insyirah ke klinik kerana demam panas.

“Ketika itu saya berhenti memberi simpati kepada seorang lelaki tua yang tayar keretanya mengalami kebocoran,”katanya.

Tambah Sabrie, dia sendiri bukan sahaja membantu menukarkan tayar, malah sanggup pula memberikan tayar gantian keretanya kepada pakcik tersebut ketika itu, namun dalam sekelip mata kaki kirinya hancur menjadi menjadi hilang upaya

Beliau juga berdepan ujian yang amat berat ketika itu apabila gigih merawat anaknya Annisa yang perlu menjalani siri rawatan atas tumor dihidapi, yang kini semakin pulih.

“Oleh kerana itu saya perlu kuat untuk terus bangkit dan mempromosikan produk saya, moga ada sinar untuk perniagaan kami,”katanya lagi.

Produk tempatan yang dijual Sabrie termasuk terubok masin, popia serunding, popia nestum, cornflakes kacang bersira dan peria ranggup dua perisa.

Mereka yang ingin membeli produk atau ingin membantunya boleh menghubunginya melalui Whatsapp 012-8087457.
Next Post Previous Post