Belaga Regatta 2023 tawar hadiah keseluruhan acara Perahu Kayuh bernilai RM163 ribu


BELAGA, 16 Julai – Belaga Regatta 2023 yang akan berlangsung bermula 30 Julai hingga 6 Ogos ini di Pekan Belaga bakal menawarkan hadiah keseluruhan acara Perahu Kayuh berjumlah RM163 ribu.

Hadiah dengan nilai tertinggi sebanyak RM20 ribu ditawarkan kepada Johan Lakin Hungey (Raja Sungai) menerusi acara Lumba Kayuh Perahu yang menjadi tumpuan Belaga Regatta kali ini.

Selain itu, pemenang bagi kategori tanpa had pula bakal membawa pulang hadiah bernilai RM10 ribu.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Komunikasi) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.65 Belaga Datuk Liwan Lagang berkata, Belaga Regatta merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga Belaga.

“Setiap acara yang dianjurkan dan dipertandingkan mempamerkan keunikan budaya Orang Ulu di daerah Belaga.

“Penganjuran program seumpama ini juga adalah peluang bagi pengunjung sama ada dari dalam Sarawak atau luar Sarawak datang melawat daerah Belaga yang kaya dengan budaya dan keindahan alam semula jadinya,” katanya pada sidang media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat persiapan Belaga Regatta 2023 di sini, semalam.

Menurut beliau, kali terakhir Belaga Regatta diadakan adalah pada 2018 dan tahun ini merupakan edisi ketujuh penganjurannya.

“Pengisian program akan bermula pada 30 Julai, namun acara-acara utama akan berlangsung pada 3 hingga 6 Ogos. 

“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun oleh jawatankuasa penganjur antaranya, Pentas Budaya, sukan rakyat, fun run, gerai jualan, jerayawara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), sukan eletronik Mobile Legend, pameran pondok tradisional, lumba bot laju, jualan Rahmah dan pelbagai lagi,” ujar Liwan.

Orang ramai khususnya di sekitar Belaga adalah dijemput hadir bagi memeriahkan acara dwi-tahunan tersebut. 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan Belaga Regatta 2023 boleh berhubung dengan Pejabat Daerah Belaga di talian 086-461 326 atau Zain Rocky di talian 019-454 3578.

Oleh: Sylvia Jocylena Sumping 
Foto: Awangku Hamizan Awangku Bolhassan dan UKAS
Next Post Previous Post