MBM rampas peti ais, kerusi plastik, bakul dan meja aluminium milik premis makanan

MIRI— Empat premis makanan disita selepas dikesan menyalahguna tempat letak kereta dan belakang premis kedai semasa operasi penguatkuasaan selama tiga jam di Jalan Jade Manis pada 13 Julai.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan berkata, antara barang yang disita dalam operasi ketidakpatuhan kesalahan kebersihan di kawasan awam adalah peti ais, kerusi plastik, meja aluminium dan bakul.

“Sebelum ini MBM sudah mengeluarkan amaran dan kompaun namun masih ada pemilik premis yang enggan bekerjasama dengan meletakkan barangan mereka di tempat parkir dan belakang premis kedai.

“Justeru, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan.

“MBM memohon agar semua pemilik premis perniagaan tidak menyalahguna tempat parkir dan juga kawasan awam bagi memastikan bandar raya Miri dalam keadaan yang bersih, selamat dan teratur,” katanya.

Anggota penguatkuasa MBM merampas meja aluminium premis makanan di Jalan Jade Manis. 

Menurutnya, MBM bertanggungjawab dalam menguatkuasakan Cleanliness Bylaw dibawah seksyen 18 dan Seksyen 26, di dalam memastikan pematuhan terhadap kebersihan dan keselamatan di kawasan awam di mana barang premis pekedai diletak di kawasan awam seperti di tempat parkir dan juga belakang kedai yang boleh menjejaskan imej dan permandangan bandar raya Miri serta boleh menyebabkan kacau ganggu dan mengancam keselamatan orang awam terutamanya pengguna jalan raya.

Sementara itu, operasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dijalankan oleh Seksyen Penguatkuasa MBM dan dibantu Polis Diraja Malaysia dimana fokus utama adalah untuk membersihkan barangan yang diletak oleh pemilik premis kedai di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Khidmat nasihat juga telah diberikan kepada pihak gelandangan agar sentiasa menjaga kebersihan dan dilarang sekali untuk meletak barangan peribadi di kawasan awam. 

“Sekiranya masih lagi didapati gagal untuk mematuhi peraturan yang sedia ada, tindakan sitaan akan dilakukan pada masa yang akan datang,”katanya.

Gambar ihsan Majlis Bandaraya Miri

Next Post Previous Post