Sarawak raih RM11.910 bilion

Sarawak capai pendapatan tertinggi bagi tahun 2022



KUCHING-- Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan prestasi kewangan Sarawak bagi tahun 2022 telah melepasi unjuran pendapatan sebanyak 17 peratus iaitu daripada RM10.159 bilion kepada RM11.910 bilion, pencapaian pendapatan tertinggi setakat ini.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu itu menjelaskan, ia adalah pencapaian positif berbanding dengan kutipan hasil pada 2021 iaitu sebanyak RM7.620 bilion dengan peningkatan sebanyak RM4.290 bilion atau 56.3 peratus.

"Tahun ini juga menandakan tahun ketiga Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan ekonomi Sarawak berkembang daripada 2.9 peratus pada 2021 kepada anggaran 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022.

“Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai langkah di bawah PCDS 2030 untuk merangsang ekonomi, meningkatkan produktiviti dan berdaya saing dalam pasaran dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini hari ini.

Pada masa sama Abang Johari memberitahu, kerajaan Sarawak sedang mempergiatkan pelaksanaan projek infrastruktur untuk memastikan ketersambungan yang lebih baik, memudahkan perdagangan dan pelaburan serta mempertingkatkan ekonomi domestik.

Ini tegasnya adalah sangat kritikal untuk lebih berkembang menerusi inisiatif ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak perniagaan dan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat Sarawak.

“Yang penting sekali, ia akan menjadi inklusif dan mampan. Dalam 2023, ekonomi kita diunjurkan untuk mencapai antara pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus,” jelasnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak telah merangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 atau ‘Sarawak Digital Economy Blueprint 2030’ sebagai hala tuju mentrasformasikan ekonomi daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan.

Beliau menjelaskan, pelan tindakan tersebut mengutamakan lima tonggak strategik yang antara lain melibatkan perihal mempercepatkan pendigitalan sektor ekonomi dan pengewangan data, memperkembangkan perniagaan digital, mengubah sektor awam untuk menyampaikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan dipercayai serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, penggunaan teknologi perbatasan (‘frontier tech’) dan juga membina asas untuk meningkatkan ketersediaan digital.

Menurutnya, pelan tindakan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama pada tahun 2025 melibatkan aspek meningkatkan ketersediaan digital, fasa kedua pada tahun 2027 untuk mempercepatkan transformasi digital serta fasa ketiga iaitu menjadikan Sarawak sebuah negeri digital menjelang tahun 2030.


“Kita akan membina ekosistem untuk menarik industri baharu yang memberi tumpuan kepada pusat data berpiawaian antarabangsa, penciptaan kandungan digital serta meningkatkan inovasi digital dan keusahawanan.


“Menjelang 2030, tidak akan ada perbezaan antara ekonomi digital dan ekonomi. Semua segmen ekonomi iaitu perlombongan, pertanian, perhutanan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan akan dipacu secara digital menggunakan teknologi maklumat (ICT) dan teknologi perbatasan.


“Kesemua inisiatif ini akan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak berjumlah RM56.4 bilion pada 2030," jelasnya.


Ini katanya sekali gus mewujudkan lebih daripada 45,000 pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan 80 peratus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) menerima pakai aspek pendigitalan.


Dalam pada itu, beliau mengalukan sektor swasta untuk menceburi bidang ekonomi digital yang semakin berkembang.


“Di bawah pelan tindakan ini, sektor swasta akan memainkan peranan utama melalui teknologi perbatasan termasuk ‘big data’, ‘blockchain’, ‘Internet of Things’ (IoT), ‘Artificial Intelligence solutions’ serta ‘immersive technology’. 


“Pada skala yang lebih luas, ini akan memberikan kesan yang besar terhadap aspek ekonomi, kemasyarakatan dan alam sekitar di Sarawak,” ujarnya.


Next Post Previous Post