Sarawak kini miliki entiti kawal selia kraf selepas RUU SCC 2023 diluluskan

KUCHING: Sarawak kini mempunyai entiti mengawal selia dan pembangunan kraf selepas Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Kraf Sarawak, 2023 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dengan kelulusan RUU itu membolehkan Majlis Kraf Sarawak (SCC) mengawal selia dan mengurus tadbir pembangunan kraf di negeri ini.

RUU itu dibentang Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan diluluskan selepas bacaan kali ketiga.

Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar memaklumkan, RUU itu dipersetujui sebulat suara ahli dewan setelah dibahas oleh 19 ahli dewan daripada wakil kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, RUU tersebut bertujuan menstruktur semula serta memacu usaha bersepadu untuk menjadikan SCC sebagai entiti pihak berkuasa di negeri ini yang mengawal selia serta pembangunan kraf di Sarawak.

"Saya turut bersyukur dan gembira kerana RUU Majlis Kraf Sarawak, 2023, yang bertujuan untuk merasmikan SCC telah dilulus semasa pembentangan di mesyuarat persidangan DUN Sarawak hari ini. 

"RUU ini juga untuk memastikan pihak SCC sebagai pihak berkuasa untuk mengawal selia dan mengurus perkara berkaitan hasil dan pertukangan kraf di Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu SCC juga akan meneliti permohonan Harta Intelek (IP) untuk beberapa seni dan kraf popular tempatan.

"Perkara ini pasti akan berlaku kerana aspek IP adalah sangat penting kerana kita tidak mahu produk yang ada dan dihasilkan dari rumah panjang tiba-tiba dihasilkan secara besar besaran di negara lain seperti Thailand atau China," tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau mengulangi pentingnya SCC diformalkan supaya rangka kerja undang-undang yang sesuai disediakan untuk mereka meneliti isu seperti IP.

"Saya telah menyatakan keyakinan terhadap reka bentuk dan motif kraf dari Sarawak pada suatu hari nanti boleh menarik perhatian jenama mewah antarabangsa seperti Gucci, Prada dan Hermes. 

"Keyakinan ini telah timbul selepasa saya menghadiri acara #londoncraftsweek yang berlangsung di bandaraya London #unitedkingdom baru-baru ini. 

"Saya sendiri menyaksikan bagaimana seni dan hasip kraf tempatan telah mendapat perhatian apabila di promosi peringkat antarabangsa," ujarnya.

Mengenai SCC, Abdul Karim berkata ia telah ditubuhkan daripada kertas MMKN pada tahun 1996 untuk menyelaraskan industri kraf tangan di Sarawak.

Selepas 27 tahun beroperasi di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, tegasnya adalah tepat pada masanya untuk Sarawak membangunkannya lagi.

Selain itu, katanya SCC akan memberi rangka kerja undang-undang untuk mengawal selia industri kraf di Sarawak bagi memenuhi pasaran kraf yang sangat kompetitif di seluruh dunia.

Terdahulu, pada sidang media, Abdul Karim berkata kraf memainkan peranan penting lebih-lebih lagi sekarang apabila industri berkenaan memberi pulangan lumayan kepada penduduk pedalaman.

Perkara itu dibuktikan dengan hasil yang dijana daripada kraf pada tahun lepas mencecah RM22 juta dan jangkaan lebih tinggi tahun ini.
Next Post Previous Post