Sarawak hasilkan SAF pertama di dunia gunakan alga

LAMGKAWI -- Sarawak mampu mengeluarkan 10,000 tong minyak sehari melalui ladang lumut (alga) di negeri ini dengan kos semasa untuk satu tong sekitar AS$50, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, anggaran keluasan penanaman alga iaitu seluas 1,000 hektar dan menerusi teknologi yang digunakan.

"Ia mampu menghasilkan kira-kira 500,000 tan minyak alga mentah.

"Ini bermakna, satu hari boleh menghasilkan 10,000 tong minyak dan kos semasa untuk satu tong sekitar AS$50.

"Dan sekiranya Sarawak menjualnya kepada kilang penapisan, harganya adalah kira-kira AS$110 satu tong, setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis menandatangani perjanjian Triparte Persefahaman antara SEDC Energy, 
PETRONAS dan Aerospace Malaysia 
Innovation Centre (AMIC) di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, Sarawak mempunyai keadaan yang sesuai untuk penghasilan bahan bakar tersebut.

"Ya, alga adalah apa yang saya percaya kita boleh tawarkan dari segi penyelesaian yang mampan dan tidak bersaing dengan sumber makanan. 

"Di Sarawak, kita mempunyai matahari yang cukup, suhu panas dan dikelilingi oleh air laut, kita boleh menghasilkan minyak ini (SAF) secara berterusan," ujarnya.

Tambah beliau lagi pada masa ini orang ramai semakin beralih kepada tenaga mampan dan diperbaharui kerana kebimbangan terhadap perubahan iklim.

Tegasnya, ini bermakna tenaga diperbaharui akhirnya akan menggantikan bahan api fosil.

Sebab itu Sarawak katanya, berada di barisan hadapan dalam teknologi ini dan Sarawak bergerak ke hadapan ke arah tersebut. 

Menurutnya, Sarawak mengiktiraf Petronas dan SEDC Energy sebagai rakan kongsi yang penting dalam mencari teknologi baharu.

Gambar Ihsan UKAS

Pada majlis itu, Abang Johari menaiki pesawat yang menggunakan SAF berasaskan alga di sini, hari ini.

Penerbangan pesawat AirBaltic A220-300 yang dinaikan Abang Johari itu berlepas kira-kira jam 1.45 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023.

"Hari ini, kami ingin meraikan 'kejayaan kecil' kami dalam membuat SAF pertama di dunia daripada alga. 

"Apa yang anda lihat di hadapan kami ialah SAF pertama yang dihasilkan daripada alga oleh PETRONAS dan SEDC Energy," katanya.
Next Post Previous Post