Projek jalan hubung Marudi, Mulu, Long Panai dan Long Lama lulus

 

Sarawak biaya projek jalan ke Mulu, bukan kerajaan Persekutuan 

MIRI— Pembinaan jalan menghubungkan Miri - Marudi, Marudi - Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai - Long Lama, satu projek yang dibiayai oleh Sarawak akan memanfaatkan kira-kira 70,000 penduduk tempatan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pembinaan jalan ini kelak melegakan penduduk dengan kemudahan infrastruktur yang lebih selamat dan kondusif berbanding keadaan sekarang yang bergantung kepada pengangkutan air dan udara.

“Pembinaan jalan ini turut akan memberi spillover effects kepada kawasan sekitar dan berupaya meningkatkan jumlah pelancong ke kawasan taman negara yang berada di sepanjang jalan berkenaan,” katanya menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai cadangan pembinaan jalan raya yang baik dan memudahkan akses ke Taman Negara Gunung Mulu melalui Miri pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi menambah, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, projek ini telah disenaraikan untuk pertimbangan dan akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sarawak

“Projek ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang dijangka bermula pada tahun 2023 setelah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Sarawak.”

“Projek ini melibatkan pembinaan jalan sepanjang 137 kilometer dari Miri ke Mulu dan Long Lama selain akan turut menghubungkan taman-taman negara seperti Lambir, Loagan Bunut, Mulu, Kejin Tugang dan Niah di Bahagian Miri, Sarawak,” katanya.

Chiew sebelum itu meminta kerajaan persekutuan mempertimbang cadangan pembinaan jalan raya yang baik ke Taman Negara Gunung Mulu memandangkan destinasi itu mampu menarik pelancong asing hanya boleh disampai melalui pengangkutan udara.

Next Post Previous Post